KUANTAN – Akibat takut ditahan pihak ‘polis’ seorang wanita warga emas mengalami kerugian sebanyak RM131,500 selepas terperdaya dengan penipuan dalam talian.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula apabila mangsa yang berumur 61 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai staf sebuah syarikat.
“Suspek memaklumkan mangsa terlibat dengan kes kecurian elektrik dan kegiatan wang haram sebelum suspek menyambungkan panggilan tersebut ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuantan.
“Mangsa telah bercakap dengan individu menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor dan mangsa menafikan tuduhan sebelum suspek meminta mangsa untuk membuat laporan polis,”katanya di sini hari ini.
Menurut Yahaya, suspek juga meminta mangsa membuat pindahan wang ke akaun diberikan dan mangsa membuat pindahan wang sebanyak 26 kali transaksi berjumlah RM131,500.
Tambahnya, suspek juga telah menghantar surat waran tangkap dan laporan juruaudit bank negara berkenaan wang yang telah diambil.
“Pada 21 Januari lalu mangsa telah dihubungi oleh individu tidak dikenali sekali lagi dan meminta mangsa untuk memasukkan wang tetapi mangsa berasa telah ditipu,”katanya.-KOSMO! ONLINE