JOHOR BAHRU – Kejadian seorang lelaki ditetak seorang lelaki lain sehingga berlumuran darah di Jalan Wong Ah Fook, di sini hari ini dipercayai berpunca akibat pergaduhan mulut antara mangsa dan suspek, termasuklah cabar mencabar.
Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Hidayah memberitahu, mereka bergaduh berdua sahaja, namun bunyinya agak bising sehingga ramai orang melihat.
Bagaimanapun katanya, suspek sudah melepaskan pisau pemotong daging itu ke atas lantai sebelum mengutipnya kembali kerana dicabar mangsa.
“Mereka mula bergaduh kira-kira 100 meter dari lokasi tetakan. Keadaan jadi teruk apabila mangsa berkata ‘saya tak takut dengan parang kau’.
“Bermula daripada itu mereka kembali bergaduh sebelum berlakunya insiden tetakan tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemukan di lokasi kejadian, di Jalan Wong Ah Fook, di sini hari ini.
Seorang lagi saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd. pula berkata, kejadian itu terjadi dengan pantas dan orang ramai tidak mampu berbuat apa-apa kerana berasa terkejut.
“Ketika melihat perkara itu saya terkejut dan tak tahu hendak buat apa, saya rasa orang lain pun fikir benda yang sama seperti saya,” katanya yang kebetulan berada di lokasi tersebut ketika kejadian.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan pihaknya telah menahan suspek selepas menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 2.52 petang.
“Mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan. Manakala siasatan lanjut berhubung kes masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Terdahulu, tular beberapa rakaman video dan gambar memaparkan seorang lelaki telah ditahan polis terbaring di atas lantai, manakala video lain memaparkan mangsa dalam keadaan berlumuran darah.-KOSMO! ONLINE