HULU SELANGOR – Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun meninggal dunia akibat lemas di sungai Taman Rekreasi Sungai Kedondong Jalan Batang Kali Genting, di sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira pukul 11.43 pagi.
Katanya, seramai enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikerahkan untuk misi menyelamatkan mangsa.
“Panggilan kecemasan dibuat oleh rakannya, yang menyatakan mangsa lemas ketika melakukan aktiviti di sungai berkenaan.
“Setelah melakukan “surface searching” di kawasan sekitar, mangsa berjaya dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri pada pukul 12.44 tengah hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa ditemukan kira-kira tiga meter dari lokasi dilaporkan lemas.
“Mangsa, Adam Ashraf Mohd Amir disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia. Seterusnya, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.