JAKARTA – Penduduk sebuah kampung di Klaten, wilayah Jawa Tengah gempar apabila ampaian baju di tiga buah rumah terbakar secara misteri ketika awal pagi, lapor laman berita Jawa Pos Radar Solo semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan) di Kampung Ceper.
Menurut pemilik tiga buah terbabit, Warsirah, 65, Haryanto, 57 dan Jumianto, 42, ampaian milik mereka terbakar secara tiba-tiba, menyebabkan sejumlah pakaian hangus.
Warsirah berkata, kediamannya menjadi sasaran pertama selepas dia mendengar bunyi seperti barang jatuh di luar rumah.
Ketika keluar untuk memeriksa, dia terkejut melihat api marak di ampaian pakaian sebelum wanita tersebut menjirus air bagi memadamkan api.
Kira-kira 50 meter dari rumah Warsirah, kediaman Haryanto menjadi sasaran seterusnya apabila beberapa helai pakaian hangus dijilat api.
Ini diikuti dengan rumah Jumianto yang menyaksikan kira-kira 30 helai pakaian terbakar.
“Saya hanya mengetahui mengenai kebakaran apabila ada penduduk mengetuk pintu rumah. Ketika keluar, asap sudah berkepul-kepul,” ujarnya.
Tambah Jumianto, dia ada mendengar bunyi seperti botol kaca pecah ketika api merebak, namun tidak menemui sebarang bahan bakar yang mencurigakan.
Meskipun ia kali pertama kejadian seumpamanya berlaku di kampung itu, Jumianto berkata, dia bimbang perkara serupa berulang.
“Kalau sudah begini, ia jelas merupakan tindakan sabotaj. Penduduk berasa resah,” katanya.
Susulan itu, penduduk melaporkan kejadian tersebut kepada polis, manakala ketua polis tempatan berkata, pihaknya masih menyiasat kes itu. – AGENSI