KANGAR – Seorang pekerja kantin yang disyaki memukul anak perempuannya berusia lima tahun sehingga cedera direman selama enam hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman ke atas wanita berusia 38 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Terdahulu, suspek diiringi anggota polis tiba di Kompleks Mahkamah Kangar dengan tangan bergari kira-kira pukul 9.30 pagi tadi.
Kosmo! Online melaporkan seorang wanita yang disyaki memukul kanak-kanak perempuan sehingga tersungkur dan terhantuk bucu bangku hingga berdarah pada dahi di hadapan sebuah pasar raya di Jejawi, Arau dekat sini ditahan malam tadi.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, suspek berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pekerja kantin itu ditahan di bilik sewanya di Jejawi kira-kira pukul 11.30 malam.
“Mangsa merupakan anak perempuan suspek berusia lima tahun dan dia didapati mengalami luka berjahit di bahagian kening sebelah kanan,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE