PUTRAJAYA- Malaysia akan mencadangkan memperluaskan penglibatan Rakan Dialog ASEAN membabitkan penyertaan Turkiye pada sidang kemuncak blok berkenaan tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu diutarakan berikutan terdapat keperluan mendesak memperluaskan inisiatif terbabit seperti mana dilakukan Kesatuan Eropah (EU), Kanada, New Zealand, Australia, China dan Jepun.
“Terdapat seruan mendesak untuk memperluaskan(penyertaan Rakan Dialog ASEAN) dan saya sudah berbincang dengan Menteri Luar tahun ini untuk memastikan bahawa kita membawanya ke peringkat ketua-ketua kerajaan ASEAN.
“Kita mahu memastikan terdapat penyertaan yang mencukupi untuk diperlakukan dengan adil seperti yang kita lakukan kepada beberapa negara lain,” katanya dalam sidang akhbar bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menegaskan sokongan kuat negara itu terhadap usaha memperkukuh hubungan dengan negara-negara Asia dan institusi serantau selaras dengan Inisiatif ‘Asia Anew’.
Dalam konteks ini, beliau mengalu-alukan Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN pada tahun 2025 serta menyatakan keyakinan bahawa di bawah kepimpinan Malaysia, ASEAN akan terus maju dalam mencapai visi serantau berkaitan integrasi ekonomi dan kelestarian.
“Kedua-dua negara mengalu-alukan peluang untuk kerjasama lebih erat antara ASEAN dan Türkiye menerusi Perkongsian Dialog Sektoral ASEAN-Türkiye dan inisiatif berterusan yang berpandukan Bidang Kerjasama Praktikal ASEAN-Türkiye (2024-2028).
“Kedua-dua pihak mengiktiraf kerjasama dalam bidang utama seperti perdagangan dan pelaburan, sains dan teknologi, pelancongan, makanan dan pertanian, pengurusan bencana, pembangunan sumber manusia, pendidikan, dan pertukaran antara rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE