KLANG – Segelintir pengusaha bot nelayan didapati masih ‘keras kepala’ apabila terus menggajikan warga asing sebagai nelayan untuk menangkap hasil laut.
Ini terbukti apabila lima warga Myanmar termasuk tekongnya berusia 18 hingga 42 tahun ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 9.2 batu nautika barat daya Pulau Tengah, semalam.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, penahanan dibuat kira-kira pukul 12 tengah hari terhadap sebuah kapal nelayan kelas C ketika pihak melaksanakan rutin operasi di perairan negeri ini.
Katanya, kapal nelayan tersebut didapati melakukan aktiviti penangkapan ikan kurang dari 15 batu nautika dari daratan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kelima-lima warga Myanmar itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk bekerja di atas vesel tersebut.
“Selain itu, kapal tersebut didapati melanggar syarat tambahan iaitu tidak mengibarkan bendera Malaysia semasa belayar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, kesemua nelayan asing itu memperoleh anggaran gaji sebanyak RM1, 600 dengan komisen tambahan mengikut hasil tangkapan mereka.
Jelas Abdul Muhaimin, kesemua kru, vesel dan hasil tangkapan ikan campur seberat 50 kilogram dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Selangor untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen serta menggaji warga asing tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia. – KOSMO! ONLINE