BATU PAHAT – Seorang lelaki warga Nepal ditemui mati dipercayai ditikam dengan pisau pemotong sayur dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Sri Gading, di sini, malam Ahad lalu.
Kematian lelaki berusia 30 tahun itu disyaki dilakukan rakan sekerjanya lelaki Bangladesh yang berpunca akibat salah faham dan mabuk.
Sumber berkata, kejadian berlaku sewaktu mangsa pulang ke asrama penginapan dalam keadaan mabuk sehingga tercetus perselisihan dengan suspek.
Katanya, pada masa sama, berlaku provokasi antara mangsa dan suspek yang menyebabkan salah seorang daripada mereka berang.
“Mangsa menghempap basikal ke arah suspek hingga berlaku pergelutan. Beberapa rakan sekerja suspek turut campur tangan hingga menyebabkan berlakunya kekecohan.
“Suspek yang tidak berpuas hati kemudian mengambil sebilah pisau lalu menikam belakang kiri, perut dan pinggang mangsa.
“Mangsa parah akibat tikaman itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi tersebut,” katanya.
Susulan kejadian itu, polis menahan lima individu termasuk suspek utama berusia 24 hingga 27 tahun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE