KUALA PILAH – Seekor harimau kumbang jantan mati dipercayai dilanggar kenderaan di Kampung Orang Asli Tering, Jalan Tampin-Kuala Pilah, di sini, malam semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, bagaimanapun tiada kenderaan yang terbabit dikesan di lokasi.
Menurutnya, anggotanya ke lokasi sejurus menerima laporan pada pukul 11 malam selepas menerima maklumat harimau berkenaan dengan seberat di antara 40 hingga 50 kilogram berada di tepi jalan.
“Pejabat Perhilitan Daerah Gemas menerima aduan seekor harimau kumbang jantan dewasa dipercayai dilanggar sebuah kenderaan.
“Namun, maklumat kenderaan dan pemandu tidak dapat dikenal pasti kerana ketika hadir di tempat kejadian, tiada kenderaan yang dikesan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Faizal Izham lagi, pemeriksaan di lokasi turut mendapati terdapat kesan perlanggaran di besi penghadang jalan.-KOSMO! ONLINE