KUANTAN – Seorang guru besar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menipu dan mengemukakan dokumen palsu berkaitan projek keceriaan sekolah berjumlah keseluruhan RM4,126, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Ruslinah Mohamed Kaseh, 55,bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan hakim Azman Mustapha.
Berdasarkan keempat-empat kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan mengemukakan invois dari sebuah syarikat bagi pembekalan berkaitan projek Keceriaan Sekolah “Sekolahku Indah” Transformasi Sekolah 25 Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP (Felda) Bukit Kuantan melalui Unit Kewangan SK LKTP (Felda) Bukit Kuantan bernilai antara RM220 sehingga RM1,896.
Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan terbabit pada 9 Disember 2022 bertempat di sekolah yang sama.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) Akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Ibu empat anak itu turut didakwa atas empat pertuduhan pilihan bagi kesalahan di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana menggunakan dokumen palsu bagi tujuan menipu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 7 April depan untuk serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE