PETALING JAYA – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menghadiahkan sebuah kenderaan elektrik (EV) Togg T10X berwarna putih kepada Malaysia sempena lawatan rasmi beliau ke negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatan di Facebook beliau berkata, pemberian tersebut mencerminkan komitmen tegas kedua-dua negara untuk tangkas meneroka peluang kerjasama dalam pelbagai bidang, samada di lapangan teknologi, inovasi dan automotif.
“Malaysia dan Republik Turkiye akan terus memperkukuh dan memanfaatkan persahabatan erat yang terjelma serta memungkinkan lembaran baharu dalam hubungan strategik yang pastinya memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.
Togg ialah pengeluar kenderaan EV nasional pertama Turkiye yang ditubuhkan pada tahun 2018 sebagai usaha sama antara beberapa syarikat besar Turkiye dengan sokongan kerajaan.
Togg melancarkan T10X, SUV elektrik pertama mereka pada 2023 dan merancang untuk memperkenalkan lebih banyak model, termasuk sedan dan hatchback, menjelang 2030.
Syarikat ini juga memberi tumpuan kepada teknologi pintar dan ekosistem mobiliti bersepadu. – KOSMO! ONLINE