fbpx

Enam individu disiasat, buat hantaran jelik terhadap Sultan Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai MCMC melakukan siasatan terhadap salah seorang inidividu yang didakwa membuat hantaran jelik di laman Facebook baru-baru ini.

CYBERJAYA- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melakukan siasatan terhadap enam individu yang dipercayai memuat naik kandungan berunsur palsu dan jelik melibatkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Majlis Raja-Raja di platform media sosial Facebook.

MCMC dalam satu kenyataan berkata, operasi pemeriksaan dijalankan pihaknya hari ini melibatkan seorang suspek di Setapak, Kuala Lumpur yang memuat naik kandungan palsu terhadap Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

“Satu unit telefon pintar dan satu unit kad sim berkaitan dengan kes telah disita bagi membantu siasatan.

“Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti berkenaan untuk mendapatkan keterangan bagi membuktikan kes,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, satu kes akan disiasat bersama dengan pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Polis Diraja Malaysia yang mana suspek akan diambil keterangan pada esok.

“Operasi pemeriksaan bagi kes-kes lain pula akan dijalankan sepanjang minggu ini ke atas semua suspek di lokasi berasingan sekitar Sungai Petani, Kota Bharu, Kerian dan Teluk Intan,” katanya.

Terdahulu, dua notis telah dikeluarkan MCMC kepada dua orang suspek untuk hadir memberikan keterangan bagi kandungan yang dimuat naik oleh mereka di platform media sosial Facebook.

“Siasatan menyeluruh akan dibuat dan seterusnya kes akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan selanjutnya.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Akta 588 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI