PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio memberi bayangan menurunkan tiga pemain import baharu ketika berdepan pasukan Liga Australia (A-League), Central Coast Mariners dalam aksi Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Bluetongue malam ini.
Skuad Harimau Selatan bertindak pantas mendapatkan khidmat pemain kelahiran Sepanyol, Jonathan Viera, Alvaro Gonzalez dan Roque Mesa yang masing-masing berusia 35 tahun menjelang aksi antarabangsa itu.
Bidoglio berkata, kehadiran tiga muka baharu itu memberi tonik buat skuad Harimau Selatan bagi memburu slot lapan pasukan terbaik untuk melangkah ke pusingan seterusnya.
Katanya, ketiga-tiga pemain itu amat profesional dan tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan pasukan dan diturunkan menjelang aksi tersebut.
“Bagi saya, apa yang penting mereka merupakan pemain yang berpengalaman terutamanya dari segi teknikal. Ini memberi nilai tambah kepada pasukan.
“Mereka juga telah bermain lama di peringkat antarabangsa dan mereka tahu bagaimana untuk menyesuaikan diri. Kehadiran mereka juga memberikan kita lebih banyak pilihan bagi menurunkan kesebelasan yang terbaik dalam saingan ACLE kali ini,” katanya.
Untuk rekod, JDT menandatangani bekas penyerang Valencia (Viera), bekas pemain pertahanan Villarreal, (Gonzalez) dan bekas pemain tengah Sevilla (Mesa) bagi memperkuatkan pasukan.
Ketika ini, JDT menghuni tangga keenam dalam saingan peringkat kumpulan Zon Timur dengan mengumpul 8 mata, berkongsi mata dengan kelab China, Shanghai Port dan kelab Thailand, Buriram United.