BALIK PULAU – Lima beranak yang terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan di Jalan Tun Sardon di sini awal pagi dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah dari Hatyai, Thailand.
Mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza terdiri daripada pasangan suami isteri bersama anak lelaki berusia 10 tahun, ibu mertua berusia 74 tahun serta kakak ipar.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan mendapati MPV dinaiki lima beranak itu terlibat dalam nahas dengan kereta Mercedes A250 Sport.
“Kemalangan berlaku semasa kereta dinaiki lima mangsa dalam perjalanan dari Hatyai menghala ke Balik Pulau, manakala kereta Mercedes yang dinaiki tiga pemuda berusia 21 tahun dari arah Balik Pulau menghala ke George Town.
“Sampai di selekoh Jalan Tun Sardon, kereta Mercedes itu dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Alza.
“Akibat pelanggaran itu, kedua-dua knderaan terbakar di tempat kejadian. Kesemua mangsa diselamatkan oleh orang awam. Api dipadam oleh pasukan bomba,” katanya hari ini.
Beliau memberitahu, siasatan di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan kering dan berselekoh. Kes disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan lapan mangsa termasuk seorang kanak-kanak dan warga emas cedera setelah MPV yang mereka naiki terlibat kemalangan sebelum terbakar berhampiran dusun durian, Jalan Balik Pulau kira-kira pukul 2.40 pagi tadi.
Empat mangsa terdiri penumpang MPV Perodua Alza iaitu dua wanita termasuk seorang warga emas dan kanak-kanak lelaki patah kaki dan tangan, manakala seorang lagi wanita mengalami kecederaan dalaman. -KOSMO! ONLINE