PETALING JAYA – Terminal Bersepadu Selatan (TBS) bukan sekadar pusat transit, tetapi menjadi saksi perjalanan kehidupan ramai, terutama mereka yang berulang-alik dari Pantai Timur ke ibu kota.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, ramai netizen berkongsi kenangan orang-orang Pantai Timur yang bakal menggunakan Terminal Bersepadu Gombak (TBG) yang dijangka beroperasi secara rasmi pada 16 Februari ini.
“Perkhidmatan bas daripada Terengganu, Pahang, Kelantan, kita nak cari rezeki kat Kuala Lumpur, inilah tempat kita. Kita bergerak dari tempat kita tu malam, sampai sini subuh,” luah seorang pengguna setia terminal itu.
“TBS juga tempat kita kalau nak balik beraya. Kita bertolak dari sini, TBS, jam 10 malam, 11 malam. Banyak tahun saya menggunakan TBS ni, memang tempat kegemaran,” katanya.
Meninjau ruangan komen rata-rata netizen juga berkongsi pengalaman sepanjang menggunakan perkhidmatan TBS.
“Enam tahun berulang-alik. TBS la saksi susah senang kami. Pengangkutan utama setiap hujung minggu kembali ke pangkuan suami dan anak di Pantai Timur,” kata Nurza Razali.
“Dulu zaman belajar rajin guna TBS. Rindunya, sekarang kalau datang singgah TBS, rasa sebak,” luah Ahmad Isa.
“Ingat lagi terkejar-kejar cari bas ke Temerloh,” kongsi Todoshikaaritakitoteka.
“Kalau surau tu. Tempat tunggu nak balik dari pagi hingga malam, salin baju kat tandas seluar terbalik, tempat makan. Pernah tertinggal bas, beli tiket lain, sampai lebuh raya sekitar Gambang bas rosak, seorang pula tu,” kata Nora Aisah.
Difahamkan, semua bas yang berlepas dan tiba dari Pantai Timur akan melalui TBG, yang dijadualkan beroperasi secara rasmi pada 16 Februari ini.
TBG juga bakal menjadi hab pengangkutan utama yang menghubungkan perkhidmatan bas, LRT, dan projek rel utama seperti East Coast Rail Link (ECRL) pada masa hadapan, sekali gus meningkatkan kemudahan perjalanan bagi penumpang dari Pantai Timur ke ibu kota. – KOSMO! ONLINE
@sabri_mamat Akhirnya Orang Pantai anak guna tempat baru selepas ini di Terminal Bersepadu Gombak bermula 16 Febuari nanti. Banyak kenangan kita di TBS sepanjang kita ulang alik daripada Pantai Timur. #sahabatsabrimamat #TMBS #drsam #terengganu #visitterengganu #rxz_members_official ♬ original sound – 🖤Aarya Prem🇳🇵🖤