PETALING JAYA – Sebuah video tular di media sosial memaparkan dua individu kurang keprihatinan apabila membawa haiwan peliharaan mereka bermain di sebuah taman permainan awam.
Menerusi video tular yang dimuat naik di Facebook, kejadian difahamkan berlaku di sebuah taman perumahan terletak di Johor Bahru.
Kelihatan di dalam video tersebut pemilik anjing baka Husky itu membawa haiwan peliharaannya menaiki tangga sebelum menuruni gelongsor sambil disambut seorang lagi wanita di bawah.
Perbuatan itu telah menimbulkan kemarahan orang ramai kerana rata-rata mereka menganggap taman permainan awam seharusnya digunakan sebaiknya.
“Itu bukan tempat anjing, itu tempat kanak-kanak bermain. Janganlah salah gunakan,” komen Man Serah.
“Tu tempat awam, tolonglah prihatin sedikit. Bukan sahaja taman permainan, tempat-tempat awam lain pun perlu sama-sama ada sikap timbang rasa. Lainlah kalau dekat rumah sendiri,” komen Noor Azmin.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/SERTU-TAMAN-PERMAINAN-ANJING.jpeg)
“Sebab tulah saya sendiri bukan tak bagi anak main taman permainan, tapi sebab kes-kes macam nilah buat saya ragu-ragu,” komen Wan Sarah pula.
Dalam pada itu, seorang pengguna dikenali sebagai Ruzain Hatim Ainun Naim berkata, taman permainan yang dikotori anjing itu telah dibersihkan dan disertukan oleh pihak majlis perbandaran.
Katanya lagi, pemilik anjing juga sedang dicari oleh majlis perbandaran bagi tindakan lanjut.
“Saya ingin maklumkan bahawa taman permainan yang dikotori oleh anjing ini telah dibersihkan (sertu) oleh pihak majlis perbandaran.
“Kejadian ini berlaku di sebuah taman perumahan disalah satu daerah di negeri Johor. Pemilik anjing ini juga sedang dicari. Harap maklum,” katanya. – KOSMO! ONLINE