fbpx

Vaksin influenza untuk warga emas mulai 18 Februari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Warga emas berusia 60 tahun ke atas boleh mendapatkan vaksin influenza secara percuma bermula 18 Februari ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, program vaksinasi secara sukarela ini adalah langkah progresif yang bakal memanfaatkan lebih 170,000 warga emas berisiko tinggi di negara ini.

Katanya, janji temu untuk mendapatkan vaksin itu boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera mulai Jumaat ini, namun tertakluk kepada status agihan yang dibuat secara berfasa.

“Perluasan program imunisasi ini bertujuan untuk melindungi lebih ramai populasi berisiko tinggi daripada mendapat komplikasi serius akibat jangkitan influenza seperti pneumonia, radang jantung dan sepsis yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital atau kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, KKM menegaskan, kekurangan stok vaksin influenza ketika ini hanyalah bersifat sementara.

Jelasnya, bekalan vaksin untuk jangka sederhana juga mencukupi bagi tujuan pelaksanaan pelan imunisasi sedia ada termasuk untuk jemaah haji dan umrah.

Di samping itu, Program  Perkhidmatan Farmasi KKM sedang mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan bekalan vaksin di pasaran swasta tempatan pulih secepat mungkin.

“Kematian mengejut pelakon Taiwan, Barbie Hsu akibat pneumonia terkait influenza mengejutkan masyarakat Asia Timur seterusnya meningkatkan permintaan orang ramai terhadap vaksin influenza.

“Trend ini telah menyebabkan kekurangan stok vaksin influenza dalam pasaran tempatan,” katanya.

KKM menyarankan masyarakat terutama golongan berisiko tinggi termasuk warga emas dengan satu atau lebih penyakit kronik (diabetes, penyakit respiratori, jantung, obesiti, hipertensi, dislipidemia, atau penyakit buah pinggang kronik) mengambil vaksin influenza setahun sekali.

Katanya, di Malaysia, waktu terbaik untuk mengambil vaksin influenza pada April atau Oktober.

“Ia selari dengan kesiapsiagaan bagi menghadapi gelombang musim sejuk di hemisfera selatan pada Mei hingga Julai, dan gelombang musim sejuk di hemisfera utara pada November hingga Januari.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan atau swasta jika mengalami gejala seperti demam, batuk dan selesema yang berpanjangan,” jelas KKM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI