PASIR MAS – Seorang wanita warga emas yang dipercayai menyamar sebagai tetamu sebelum melarikan beg tangan berisi wang berjumlah RM2,500 pada majlis kesyukuran di sebuah rumah di Kampung Tasek Berangan di sini pada 1 Februari lalu diburu polis.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, suspek yang dikenal pasti dalam kes itu ialah Tuan Maimun Che Tuan, 61.
Menurutnya, alamat terakhir warga emas itu di Jalan Dusun Muda, Kota Bharu dekat sini.
“Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas sedang mengesan seorang suspek bagi membantu siasatan kes curi dalam rumah di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Tuan Maimun untuk menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Wan Noraida Wan Hamat di talian 03-793 2222,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, majlis kesyukuran anjuran sebuah keluarga di sini bertukar suram apabila beg tangan berisi wang berjumlah RM2,500 telah dilarikan oleh seorang wanita yang menyamar sebagai tetamu pada 1 Februari lalu.
Berdasarkan maklumat oleh Ameer Hakimi, wanita berkenaan pada awalnya dikatakan ingin menumpang tandas di rumah kakak iparnya itu.
Ameer Hakim turut berkongsi video daripada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di dalam rumah berkenaan yang jelas memaparkan wanita itu mengambil beg tangan berwarna putih di atas sebuah kabinet dan terus berlalu pergi.
“Majlis Kesyukuran kakak ipar berubah suram. Aktiviti majlis perkahwinan tetamu tidak diundang mengambil harta bukan miliknya.
“Menyamar sebagai tetamu, tumpang tandas dan melarikan wang ringgit sebanyak RM2,500,” katanya pada satu hantaran di Facebook,” katanya.
Dalam masa sama, Ameer Hakim juga meminta bantuan orang ramai untuk berkongsi video berkenaan bagi menjejak pelakunya selain menggesa wanita itu memulangkan kembali harta yang telah dicuri. – KOSMO! ONLINE