fbpx

Transformasi EON kepada pasaran EV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EON merupakan pengedar nombor satu jenama EV smart dari segi volum jualan tahun lalu.

SHAH ALAM – Sejak penubuhannya 40 tahun lalu, Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) telah lama menjadi jenama isi rumah di negara ini.

Bermula sebagai pengedar pertama dan eksklusif untuk kenderaan jenama Proton di Malaysia, anak syarikat DRB-HICOM Berhad itu merupakan salah satu pengedar pelbagai jenama terbesar di Malaysia ketika ini, menawarkan jenama kereta terkemuka termasuk Proton, Mitsubishi, Audi, Volkswagen, dan kenderaan elektrik (EV) smart dan terbaharu, Proton e.MAS.

Dalam tempoh empat dekad beroperasi, bukan sedikit cabaran yang telah dilalui EON termasuk persaingan global, perjanjian perdagangan bebas yang membuka pintu kepada lebih banyak jenama antarabangsa untuk memasuki pasaran dan pandemik Covid-19.

Kini, industri automotif sedang mendepani satu lagi gelombang global yang baharu, iaitu kemasukan EV dalam pasaran automotif di Malaysia dengan penggunaan komponen jauh le­bih sedikit dan kurang penyelenggaraan berbanding kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman (ICE).
Keadaan ini telah memaksa kebanyakan pengedar ken­deraan menyusun semula model perniagaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, meskipun EV memberi cabaran besar dari segi pengurangan pendapatan dalam khidmat selepas jualan, yang menjadi segmen pendapatan utama bagi sebuah pengedar kenderaan, pihaknya bersedia untuk menyokong sepenuhnya ekosistem automotif negara.

Akkbar Danial

“EON berada dalam pasaran automotif sudah lebih 40 dekad. Pilihan pengguna terhadap kenderaan EV semakin meningkat ia kerana lebih mesra alam. Jadi, peningkatan ini turut mendorong EON untuk turut sama dalam peralihan ke EV.

“Perjalanan EON bermula dengan menawarkan kenderaan EV jenama Audi pada awal tahun 2023 melibatkan model Q5 e-tron dan kemudian e-tron GT. Dari situ, kami mula mengumpul pengalaman dalam penjualan EV.

“Kemudian kami menawarkan jenama smart menerusi model #1 yang dilancarkan pada hujung tahun 2023 dan kini pada tahun 2025, EON telah menambah satu lagi jenama iaitu Proton e.MAS,” katanya dalam sesi bersama media di ibu pejabat EON di Glenmarie baru-baru ini.

EON boleh dikatakan bermula dengan langkah tepat dalam segmen EV apabila muncul sebagai pengedar nombor satu di Malaysia dari segi jualan untuk jenama smart, melalui penawaran kedua-dua modelnya iaitu #1 dan #3.

Selain pembukaan pusat 3S EON smart Glennmarie melibatkan pelaburan hampir RM4 juta hujung tahun 2023, syarikat tersebut turut membuka satu lagi pusat 3S khusus untuk penawaran kenderaan EV di bawah jenama Proton di lokasi sama, mencerminkan komitmennya terhadap inovasi dan mobiliti mampan.

“Kebiasaannya, pelanggan akan hadir ke bilik pameran untuk melihat dan memilih kereta idaman mereka, tetapi kini keperluan pe­langgan telah berubah selari dengan kemudahan teknologi digital.

Jadi, EON turut menfokuskan kepada reka bentuk yang lengkap dan komprehensif serta mempermudahkan pengalaman pelanggan.”

“Bilik pameran kenderaan EV di EON sedikit berbeza, ia lebih bersifat terbuka, moden dan lengkap dengan teknologi digital yang banyak membantu memberikan maklumat tentang kenderaan EV, sokongan teknikal, dan pengendalian masalah, terutamanya jika sesebuah model itu belum dilancarkan.

Satu lagi perbezaan ketara ialah penyediaan infrastruktur pengecasan,” jelas Akkbar.

Mengulas sumbangan penjualan EV kepada keseluruhan pendapatan syarikat, beliau menjelaskan ia masih lagi rendah, dengan bahagian pasaran EV hanya mencapai 1.9 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan kereta baharu dalam tahun 2024, yang mencatatkan penjualan memberangsangkan sebanyak 816,747 unit.

Ketika kos penyelenggaraan EV relatifnya lebih rendah berbanding kenderaan ICE, ia menggunakan fasiliti servis yang hampir serupa.

Memandangkan teknologi EV secara relatifnya masih boleh dikatakan baharu, Akkbar menyifatkan golongan pembeli dan peminat kenderaan jenis itu ketika ini sebagai trendsetter (pencetus trend), yang memiliki ciri unik berbanding pembeli kereta ICE.

Satu perkara untuk menggambarkan kumpulan ini ialah jualan tertinggi bagi sesebuah model EV biasanya adalah varian pa­ling atas.

Bagi smart #1 misalnya, dianggarkan 60 peratus memilih varian Brabus yang paling mahal dan bukannya premium yang memiliki jarak perjalanan paling jauh.

“Mereka ini mahir dengan teknologi dan tahu tentang ­ba­nyak perkara penting berkaitan sesebuah kenderaan tersebut sebelum datang ke bilik pame­ran. Jadi penasihat jualan perlu memiliki pengetahuan yang luas dan mendalam mengenai produk mereka.

“Saya amat menggalakkan pasukan jualan di EON supaya mencuba pandu uji sendiri ken­deraan EV milik syarikat untuk perjalanan jauh misalnya ke Pantai Timur, jadi mereka boleh menceritakan pengalaman penggunaan peribadi mereka sendiri untuk meyakinkan pelanggan,” jelas Akkbar.

Beliau turut menambah bahawa kos penyelenggaraan yang lebih rendah terhadap kende­raan EV dan sela masa servis lebih panjang disebabkan penggunaan komponen yang lebih sedikit merupakan faktor nilai jualan semula yang tinggi.

“Selain itu, apabila EV mendapat pemintaan lebih tinggi dan semakin banyak di atas jalan raya, kepercayaan masyarakat terhadap kenderaan jenis ini akan me­ningkat dan harga jualan semula EV juga dijangka bertambah baik.

“Peranan kami adalah ­me­nyampaikan penawaran nilai yang baik untuk menjadikan pembelian EV dirasakan berbaloi. Selain itu, sokongan insentif kerajaan ketika ini menjadikan EV lebih mampu milik dan menarik untuk pengguna,” ujarnya.

Disebabkan EV sering dikaitkan dengan teknologi, EON juga telah memperkasakan saluran digital mereka, yang mana laman web eon.com.my kini menawarkan pengalaman pembelian digital hujung ke hujung, dari tempahan, permohonan pembiayaan sehinggalah kepada pengambilan kenderaan.

Dengan ciri tempahan pada masa nyata (real time), pengguna boleh menempah slot servis secara online tanpa sebarang campur tangan manusia. Pemilik ­hanya perlu memberikan kod respons pantas (QR) sewaktu menghantar kenderaan dan setelah servis selesai, mereka juga diberikan notifikasi secara digital.

“Ciri ini amat popular dalam kalangan pengguna EV.

“Sejak dilancarkan pada bulan November 2023, EON telah berjaya menjual sebanyak 248 unit kenderaan secara online sepenuhnya dan kebanyakan daripadanya adalah kenderaan EV,” tambah Akkbar. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI