PASUKAN Hoki Terengganu (THT) terus mempamerkan dominasi apabila meraih kemenangan ketujuh berturut-turut Liga Hoki Malaysia (MHL) selepas menundukkan Kelab Hoki Matador 4-0 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin.
THT mempamerkan aksi bertenaga sebaik sahaja wisel permulaan dibunyikan, menyusun serangan demi serangan untuk menekan Matador yang dibarisi enam pemain import.
Meskipun selesa mendahului 3-0 dengan dua jaringan Faizal Saari dan satu daripada Samkelo Mvimbi, THT tetap mengekalkan tempo permainan hingga ke saat akhir.
Gol terakhir hadir pada minit ke-50 menerusi jaringan penyerang kebangsaan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook yang bijak memanfaatkan hantaran kemas daripada pemain import Korea Selatan, Lee Nam Yong untuk memastikan kemenangan buat THT.
Jurulatih THT, Mohd. Harfizi Baharom bagaimanapun mengingatkan pemainnya agar kekal fokus dalam dua perlawanan terakhir meskipun berada di landasan terbaik untuk merampas kejuaraan liga.
“Masih ada dua perlawanan penting menentang Nurinsafi Sporting dan pasukan dari Australia (Territory Stingers) nanti.
“TNB (Tenaga Nasional Berhad) mengejar rapat di belakang dengan beza tiga mata. Jadi, tumpuan penuh diperlukan bagi memastikan kita terus meraih tiga mata penuh tanpa terleka atau terlalu yakin,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan THT terus unggul di puncak liga dengan 21 mata, mengekalkan rekod tanpa kalah mereka sementara TNB di tangga kedua menerusi 18 mata.
THT dijadualkan bertemu Nurinsafi Sporting pada 13 Februari ini di Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang sebelum mengakhiri saingan liga menentang Territory Stingers tiga hari kemudian.