SEBERANG PERAI – Tindakan seorang penunggang motosikal mengeluarkan kata-kata kesat terhadap beberapa anggota penguat kuasa membawa padah selepas ditahan polis malam tadi.
Terdahulu, motosikal lelaki berusia 50 tahun itu diperiksa penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam Op Khas Tahun Baharu Cina (Op Khas TBC) 2025 yang berlangsung di lorong motosikal Plaza Tol Pulau Pinang.
Lesen Kenderaan Motor (LKM) motosikal berkenaan didapati telah tamat tempoh dan akan disita menyebabkan lelaki berkenaan naik angin lalu bertindak mengeluarkan kata-kata kesat.
Lelaki itu melakukan provokasi secara aktif walaupun ditenangkan teman wanitanya warga Indonesia malah berterusan enggan memberi kerjasama.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang negeri, Zulkifly Ismail berkata, lelaki terbabit ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam.
“Kita amat berharap penunggang motosikal mahupun pemandu memahami tugas penguatkuasaan yang kami laksanakan.
“Ini kerana kita bukannya mahu mencari salah atau menghukum, tetapi ia bertujuan untuk menjaga keselamatan pengguna jalan raya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.
Sementara itu, beliau berkata, secara keseluruhannya sebanyak 31,122 buah kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi yang bermula sejak 20 Januari lalu. – KOSMO! ONLINE