PETALING JAYA – Sindrom marfan merupakan satu keadaan genetik yang boleh memberi kesan serius kepada kesihatan.
Menurut hantaran Public Health Malaysia, sindrom marfan biasanya menunjukkan tanda seperti mempunyai badan yang luar biasa tinggi, jari dan anggota yang panjang, dada berlekuk atau menonjol atau mempunyai masalah penglihatan sejak kecil.
“Marfan bukan hanya sekadar tentang bentuk badan, malah boleh menyebabkan masalah jantung, saluran darah, tulang, dan mata, yang jika tidak dikesan awal, boleh membawa risiko yang mengancam nyawa.
“Saluran darah utama mereka lebih rapuh, injap jantung boleh mengalami kebocoran, dan rabun mereka mungkin lebih cepat teruk,” katanya.
Katanya, individu yang mempunyai tanda-tanda itu perlu menjalani pemeriksaan dan dapatkan kepastian pakar perubatan.
Terdahulu, baru-baru ini tular apabila seorang pempengaruh yang dikenali kerana mempunyai ketinggian luar biasa meninggal dunia seminggu selepas melangsungkan perkahwinan.
Nur Syahirah Saufi, 27, yang mempunyai ketinggiannya mencecah 186 sentimeter itu difahamkan mengidap sindrom marfan yang diwarisi daripada ibunya, Rahimah Yunoh, 53, yang berketinggian 171 sentimeter. – KOSMO! ONLINE