KUALA NERUS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya mematahkan kegiatan sindiket penyeludupan diesel yang dipercayai memanipulasi lori tangki berlabel persatuan nelayan di Kawasan Perindustrian Gong Badak di sini semalam.
Serbuan pada pukul 12.30 tengah hari itu berjaya merampas minyak diesel disyaki subsidi sebanyak 32,760 liter bernilai keseluruhan RM371,069.86.
Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, serbuan di sebuah stor di kawasan perindustrian terbabit dilakukan selepas risikan selama seminggu.
“Siasatan awal percaya sindiket tersebut menggunakan modus operandi memakai lori tangki tertera perkataan Persatuan Nelayan Kebangsaan dan Diesel Subsidi Nelayan.
“Pemeriksaan mendapati lori tangki tersebut sebenarya tidak memiliki lesen, permit dan surat kebenaran untuk berurusan dengan minyak diesel daripada Pengawal Bekalan,” katanya di sini hari ini.
Saharuddin berkata, serbuan tersebut berjaya merampas sebuah lori tangki dan lima buah tangki septik mengandungi minyak diesel terbabit.
Beliau berkata, sewaktu serbuan dilakukan, sebanyak kira-kira 16,000 liter minyak diesel tersebut didapati telah dipindahkan ke tangki septik dari lori tangki menggunakan paip saluran getah.
“Dua lelaki termasuk seorang warga Myanmar disyaki anggota sindiket terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE