fbpx

Sia-sia beli Yamaha RXZ seludup, seronok hanya sementara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Motosikal Yamaha RXZ, casis dan komponen seludup yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang Luas dekat Jerteh, Terengganu pada 1 Februari lalu. FOTO IHSAN POLIS

PASIR PUTEH – Peminat motosikal Yamaha RXZ diingatkan agar tidak melakukan perbuatan sia-sia dengan membeli atau menunggang motosikal tersebut yang diseludup dari Thailand.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, keseronokan memiliki motosikal secara haram itu hanya bersifat sementara kerana kemungkinan besar akan ditangkap atau dikesan oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, siasatan mendapati, kebanyakan motosikal Yamaha RXZ seludup tidak berdaftar dengan JPJ dan pemiliknya juga sering menyalah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM).

“Memiliki atau menunggang motosikal seludup merupakan satu perbuatan sia-sia dan mereka boleh ditangkap. Justeru, peminat motosikal Yamaha RXZ perlu mengikut saluran yang betul untuk memiliki motosikal tersebut.

“Semua pihak perlu mengikut peraturan di negara ini dan jangan beli atau tunggang motosikal seludup. Banyak cara lain untuk beli motosikal Yamaha RXZ yang ada dijual di pasaran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Ops Khas Tahun Baru Cina 2025 di Stesen Penguat Kuasa JPJ Bukit Jawa di sini tengah malam tadi.

Mohd. Misuari (kiri) memeriksa lesen dan cukai jalan milik seorang penunggang motosikal pada Ops Khas Tahun Baru Cina 2025 di Stesen Penguat Kuasa JPJ Bukit Jawa, Pasir Puteh tengah malam tadi.

Mengulas lanjut, Mohd. Misuari memberitahu, JPJ Kelantan sentiasa bekerjasama dengan pihak Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam usaha untuk mengekang penggunaan motosikal seludup itu di jalan raya.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, seorang pemilik bengkel motosikal dicekup selepas dipercayai terlibat kegiatan menyeludup komponen gantian dan motosikal Yamaha RXZ dari Thailand di Kampung Padang Luas dekat Jerteh, Terengganu pada 1 Februari lalu.

Lelaki berusia 41 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan bengkel untuk membaiki motosikal berkenaan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, pemeriksaan menjumpai 11 motosikal jenis Yamaha RXZ, empat casis motosikal dan enam komponen enjin motosikal yang mencurigakan.

“Siasatan awal percaya semua motosikal dan komponen terbabit dibawa masuk dari negara jiran tanpa sebarang dokumen sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI