PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu projek tebatan banjir dan pembasmian kemiskinan disegerakan.
Perdana Menteri berkata, beliau telah meminta supaya Perbendaharaan dan Kementerian Ekonomi supaya memberi kelonggaran bagi mempercepatkan peruntukan yang diperlukan.
“Proses saringan awal projek juga perlu lebih cepat dan pemberian projek lebih baik menggunakan kaedah tender kerana kaedah secara rundingan dipercayai banyak berlaku keterlanjuran dan ketirisannya.
“Jadi sebaiknya kita gunakan tender, tetapi tender itu kalau dalam (prosedur) biasa, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof tahu akan mengambil masa terlalu panjang.
“Dan orang yang terkesan dengan banjir itu tidak mampu menunggu. Hal-hal ini saya harap dapat diberikan perhatian,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, program membasmi kemiskinan tegar juga perlu segera diselesaikan dan dipantau pelaksanaannya.
“Projek kemiskinan tegar kejayaannya adalah baik, Alhamdulillah. Tetapi jumlahnya itu bertambah. Saya semak umpamanya di Parlimen Tambun, berapa yang masih kekal kemiskinan tegar sekitar 15 keluarga, tetapi untuk keseluruhan Perak mungkin lebih 100.
“Jadi saya sebut 15 keluarga itu boleh cari dan selesaikan dalam dua hari supaya kemiskinan tegar itu dapat dibereskan,” katanya. – KOSMO! ONLINE