SHAH ALAM – Teruk dikecam gara-gara memiliki suara unik, peserta program Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), Zazzleen lega apabila pertandingan tersebut sudah melabuhkan tirai.
Zazzleen, 38, mendedahkan air matanya tumpah mengenangkan pelbagai kecaman yang dilemparkan sepanjang lapan minggu berentap.
“Kalau ternampak saya menangis sebenarnya saya gembira. Mana tidaknya, saya kena kecam teruk sepanjang program berlangsung.
“Tangisan tersebut ibarat rasa lega semuanya sudah selesai tetapi saya percaya ada benda-benda lain yang kena hadap selepas ini,” katanya semasa sidang akhbar CSOIAM, semalam.
Berkongsi lanjut, Zazzleen menyatakan kecaman paling mengguris hatinya apabila netizen menyentuh arwah bapanya, Allahyarham Datuk Zulkifli Zain yang juga seorang pelakon.
“Paling terkesan apabila mereka kata saya bertahan sebab kabel yang kuat dan anak selebriti. Kalau orang lain baca boleh bunuh diri.
“Ada juga yang menghina arwah bapa saya. Memang sedih kalau orang sentuh fasal ibu bapa terutama yang sudah tiada.
“Setiap kali saya turun pentas, saya akan minta maaf kepada keluarga kalau saya memalukan mereka,” jelasnya.
Pada pentas akhir, Zazzleen berpuas hati dengan berada di kedudukan keempat yang melayakkannya membawa pulang wang tunai RM20,000.
Sementara itu, gelaran juara menjadi milik Marygrace yang meraih wang tunai RM500,000, sebuah kereta bernilai RM20,000 dan kontrak rakaman eksklusif di bawah Alternate Records & Talents selama dua tahun.
Manakala, Kai pula di tempat kedua dengan hadiah wang tunai RM50,000, manakala Jimi berada di posisi ketiga (RM30,000). – KOSMO! ONLINE