KOTA BHARU – “Saya minta duit dan ugut bunuh sebab dia (mangsa) hutang dengan saya.”
Demikian rayuan seorang pekebun sebelum Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM3,000 atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang wanita warga emas di Kampung Lubok Simpol, Kuala Krai dekat sini pada bulan lalu.
Hakim Zulkifli Abllah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Zakuan Jaafar, 38, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pemerasan terhadap seorang wanita warga emas berusia 62 tahun yang menyebabkan mangsa ketakutan akan dibunuh sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM100.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah kedai makan di Kampung Lubok Simpol di Kuala Krai dekat sini kira-kira pukul 11 pagi pada 28 Januari lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Zakuan memohon hukuman ringan dikenakan terhadapnya dan ditempatkan di Penjara Machang dekat sini.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bermula tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 28 Januari lalu, denda RM3,000 dan ditempatkan di Penjara Machang. – KOSMO! ONLINE