MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengakui penetapan sasaran pingat tanpa warna pada Sukan SEA Thailand 2025 hujung tahun ini dibuat berdasarkan hasil perbincangan bersama pakar, bukan diputuskan secara bersendirian.
Hannah menepis kritikan sesetengah pihak mendakwa pihaknya membuat keputusan tanpa perbincangan teliti kerana sasaran pingat tanpa warna datang daripada cadangan pakar-pakar dari Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU).
“Sasaran pingat tanpa warna ini bukan daripada saya tetapi pakar-pakar dari NSSU. Mereka mempersoalkan mengapa Malaysia masih menggunakan jalan ini (sasaran warna pingat) sedangkan negara lain telah meninggalkannya.
“Saya ingin mendengar pendapat pakar terlebih dahulu. NSSU, sebagai sebuah institusi, telah mencapai lebih 40 pingat emas Olimpik. Pakar-pakar mengatakan kita perlu mengubah sasaran kerana ia tidak baik untuk atlet.
“Saya tidak mahu melakukan sesuatu seperti sebelum ini dan akhirnya pakar mengatakan sebaliknya,” kata Hannah selepas merasmikan cawangan baharu Akademi Rhythmic Excellence di Sports Arena Sentosa, Kuala Lumpur semalam.
Menurutnya, satu-satunya sasaran pingat emas yang ditetapkan adalah untuk program Road to Gold (RTG) di mana beban tersebut dikongsi atlet-atlet dalam program berprestasi tinggi itu.
“Pakar-pakar berkata jika sasaran pingat emas ditetapkan pada individu tertentu, tekanan yang mereka hadapi terlalu berat.
“Itulah sebabnya mereka mencadangkan untuk tidak mengaitkannya kepada individu tetapi kepada jumlah keseluruhan pingat. Atlet juga berikan maklum balas mereka lebih suka cara ini.
“Ini tidak bermakna mereka tidak berusaha keras. Hanya kerana tiada sasaran pingat yang spesifik, mereka hanya berehat dan relaks. Atlet elit mempunyai disiplin sendiri dan kami mahu melakukan apa sahaja untuk memberikan sokongan.
“Langkah ini telah berkesan untuk Jepun dan Australia, jadi saya ingin memberikan peluang ini dan mendengar pendapat pakar-pakar,” tambah Hannah.
Kaedah pingat tanpa warna mula diperkenalkan di Sukan Asia Hangzhou 2022 menyaksikan Malaysia melepasi sasaran 27 pingat dengan memenangi 32 pingat (enam emas, lapan perak, 18 gangsa).