‘Sakit sangat, Balai Polis Bukit Aman boleh bantu saya?
Oleh MUHAMMAD HAIKAL RAMLI
10 Februari 2025, 2:10 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NONNY sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila memuat naik hantaran memohon bantuan pihak berkuasa kerana mendakwa terseksa disihir.
PETALING JAYA – Tiada angin tiada ribut, pelakon dan penyanyi Nonny Nadirah membuat pendedahan mengejutkan apabila mendakwa dirinya menjadi mangsa sihir sehingga mengalami gangguan teruk dan diancam secara halus.
Nonny, atau nama penuhnya Nonny Nadirah Zainuddin, 36, meluahkan kesengsaraan yang ditanggung semakin dahsyat hingga terpaksa meminta pertolongan pihak berkuasa.
“Assalamualaikum Balai Polis Bukit Aman. Saya Nonny Nadirah Zainuddin diganggu teruk oleh sihir daripada golongan tiga.
“Di mana saya boleh membuat laporan? Terus menerus diancam secara halus. Dapat bantu saya tak?
“Langit dah bagitahu saya disihir teruk. Lillahi Ta’ala, saya tak gila. Allah cerita semua tentang perbuatan mereka,” tulisnya dalam Instagram.
Dalam hantaran sama, pelakon drama Luka Di Hati Diya itu turut mendakwa hanya mampu bersuara melalui media sosial kerana semua saluran lain seolah-olah disekat secara halus.
Lebih membimbangkan, dia turut memberitahu keluarganya menerima ancaman serupa, malah mengaitkan kematian bapa dan kakaknya dengan perbuatan khianat.
“Saya seorang, tuan. Asal dari Sabah, sekarang di Kuala Lumpur. Semua disekat secara halus, kesakitan secara halus.
“Tuan boleh ikuti kisah Chester Bennington Linkin Park atau Sulli artis Korea. Semua mati bunuh diri sebab sihir, tuan.
“Saya hanya boleh bersuara dalam media sosial. Saya tak tahan, sakit sangat sihir ini. Jumpa perawat pun kata tiada sakit, tapi Allah bagitahu memang ada,” luahnya.
TANGKAP layar luahan Nonny yang mendakwa tidak mampu lagi menanggung seksa disihir dan memerlukan bantuan pihak berkuasa.
Nonny turut merayu pihak berkuasa mengambil serius perkara ini kerana tidak lagi mampu menanggung penderitaan.
“Bapa saya dibunuh. Kakak saya dibunuh. Sekarang mereka ancam ahli keluarga saya yang lain.
“Saya hanya ada Allah, tuan. Saya hanya ada Allah. La haula wa la quwwata illa billah hil aliyyil azim,” coretnya.
Ini bukanlah kali pertama, Nonny sebelum ini pernah mendakwa berdepan dengan gangguan sihir sehingga wajahnya senget sebelah sekitar tiga tahun lalu. – KOSMO! ONLINE.