PETALING JAYA – Kelihatan para peminat filem Ada Apa Dengan Cinta masih belum dapat ‘move on’ apabila Nicholas Saputra memunculkan diri sebagai salah seorang juri jemputan dalam rancangan televisyen Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), malam tadi.
Menjadi bualan hangat di aplikasi X, ramai yang memuat naik video serta gambar semasa Nicholas mengenakan persalinan berwarna biru dengan menggunakan runut bunyi lagu Ada Apa Dengan Cinta nyanyian Melly Goeslow.
Meski sudah berusia 41 tahun, pelakon Indonesia itu kelihatan tidak dimamah usia malah semakin tampan sekali gus membuatkan rindu peminat terhadap lakonan Nicholas sedikit sebanyak dapat terubat.
“Untuk gen tahun 20-an, akak perkenalkan inilah kegilaan kami pada suatu masa dahulu,” komen Jonies.
“Kegilaan zaman sekolah. Kalau boleh hari-hari nak tengok poster Mas Rangga,” komen Keny.
“Mas Rangga kenapa macam tak tua-tua. Makin ‘hot’ adalah, buatkan kita terimbau balik filem Ada Apa Dengan Cinta,” komen Ajueya.
Selain itu, yang menarik perhatian orang ramai juga adalah pertemuan Nicholas bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam rancangan tersebut.
Untuk rekod, kedua-dua mereka pernah berganding bahu pada 23 tahun yang lalu dalam satu muzik video lagu ‘Debaran Cinta’ nyanyian Siti Nurhaliza.
Tidak kurang juga ramai yang mengharapkan agar Siti Nurhaliza kembali berkolabrasi bersama Nicholas untuk projek mendatang kerana suka melihat keserasian mereka berdua.
“Kami nak sambungan Debaran Cinta,” komen Diloit.
“Tolonglah ada Debaran Cinta 2.0, kita perlu Datuk Seri dengan Nicholas ‘remake’ semula,” komen Wan.
Selain Nicholas, pentas akhir CSOIAM turut menampilkan Faizal Tahir sebagai juri jemputan.
Manakala penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ella dijangkan akan menghiburkan penonton dalam persembahan salingan.
CSOIAM yang bersiaran selama lapan minggu turut dijurikan oleh Datuk Yusry Abdul Halim, Ziana Zain dan Cakra Khan.
Empat peserta yang bertanding di peringkat akhir adalah Kai Deva, Jimi, Zazzleen dan Mary Grace.- KOSMO! ONLINE