LONDON – Pengurus Newcastle United, Eddie Howe memuji impak yang dipamerkan oleh Joe Willock selepas menjadi wira pasukan selepas menewaskan Birmingham City 3-2 pada aksi pusingan keempat Piala FA awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, Willock berjaya menjaringkan dua gol dengan satu lagi jaringan disumbangkan oleh Callum Wilson, manakala tuan rumah mendapatkan gol hasil penyudah Ethan Laird dan Tomoki Iwata.
Menurut Howe, apa yang dipamerkan oleh Willock cukup luar biasa terutama selepas dikritik hebat oleh peminat sewaktu pasukan tewas 1-2 kepada Fulham dalam saingan liga awal bulan ini.
“Saya rasa Willock memiliki mentaliti yang sangat luar biasa kerana bukan mudah untuk memiliki motivasi selepas dikritik peminat menerusi laman sosial sebelum ini.
“Dia bekerja keras sepanjang minggu dan berjaya membantu pasukan dengan meledak dua gol pada penting pada aksi kali ini. Apa yang penting, kita berjaya tamatkan aksi kali ini dalam tempoh 90 minit,” katanya.
Sementara itu, pengendali Birmingham, Chris Davies percaya pasukannya masih boleh mendabik dada kerana dapat memberikan tentangan sengit kepada Newcastle yang memiliki reputasi hebat ketika ini.
“Pemain telah berjuang sehingga wisel penamat untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan. Saya pasti penyokong kita bangga dengan apa yang disaksikan di atas padang kali ini,” katanya. – AGENSI