LONDON – Pengendali Manchester City, Pep Guardiola menarik nafas lega apabila pasukannya bangkit untuk mara ke pusingan kelima Piala FA selepas menewaskan Leyton Orient pada aksi di Stadium Brisbane Road kelmarin.
Pada perlawanan itu, skuad The Citizens terlebih dahulu dikejutkan hasil jaringan sendiri penjaga gol, Ortega Moreno sebelum mempamerkan kebangkitan menerusi penyudah Abdukodir Khusanov dan Kevin De Bruyne.
Menurut Guardiola, cabaran yang dipamerkan oleh pasukan tuan rumah yang beraksi di liga divisyen tiga England sangat sengit sehingga memberi inspirasi buat pasukan untuk beraksi lebih baik sepanjang perlawanan.
“Saya rasa ini adalah pengalaman yang baik untuk menentang kelab divisyen bawahan kerana stadium ini penuh tradisi dengan bilik persalinan yang sangat kecil dan unik.
“Apa yang pasti, ini adalah keputusan yang penting buat pasukan kerana kita tidak begitu konsisten sejak beberapa perlawanan yang lepas dan kejayaan mara ke pusingan seterusnya meringankan tekanan di bahu pemain,” katanya.
Sementara itu, pertahanan City, Rico Lewis mengakui teruja apabila dapat mencipta peluang buat Khusanov menjaringkan gol pertamanya bersama pasukan sejak berhijrah daripada kelab Perancis, Lens bulan lalu.
“Saya melakukan rembatan ke arah gol tetapi terkena Khusanov dan gembira jaringan tersebut menjadi miliknya. Dia mengharungi debut yang sukar sebelum ini tetapi berjaya mempamerkan aksi yang begitu cemerlang kali ini,” katanya. – AGENSI