LONDON – Sebuah kedai koperasi di Addingham, Yorkshire Barat rosak selepas pencuri menggunakan forklift untuk melarikan mesin pengeluaran wang automatik (ATM), lapor akhbar Metro UK semalam.
Kejadian berlaku pada pukul 2 pagi (waktu tempatan), Jumaat lalu.
Penduduk setempat, Edward Fernandez berkata, dia hanya menyedari insiden itu berlaku pada waktu pagi.
“Penduduk terkejut kerana kejadian begini boleh berlaku di sebuah kampung yang damai seperti ini,” katanya.
Menurut Polis Yorkshire Barat, beberapa saksi melaporkan melihat tiga kenderaan ketika insiden rompakan tersebut.
“Sebuah kereta hitam, van putih dan forklift merempuh bahagian hadapan kedai dan melarikan sebuah mesin ATM.
“Forklift ditinggalkan di lokasi kejadian, manakala dua kenderaan lain melarikan diri ke arah Richmond,” kata polis.
Siasatan bagi kes itu sedang dijalankan. – AGENSI