KUCHING – Program Kepimpinan Perantisan Wanita (Perantis) menyasarkan untuk mencapai 5,000 peserta pada tahun ini, yang permohonannya akan dibuka bermula 17 Februari ini sehingga 16 Mac depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya turut meningkatkan sasaran untuk memasukkan 100 pemimpin wanita di seluruh negara, yang masing-masing menerima sehingga RM50,000 untuk program mereka.
“Tahun ini, kita bukan sahaja meneruskan program Perantis, tetapi akan mengembangkannya secara ketara.
“Perantis adalah lebih daripada program, ia adalah satu gerakan untuk wanita menyokong, memperkasa dan meningkatkan satu sama lain.
“Apabila kita bangkit bersama, kita memecahkan halangan dan mencipta perubahan yang berkekalan,” katanya pada sidang media di bangunan Dewan Perdagangan dan Industri Dayak di sini, hari ini.
Justeru, beliau berharap agar golongan wanita di seluruh negara, khususnya dari Sarawak dan Sabah untuk memohon program berkenaan.
Menurut Nancy, ia kerana program itu yang dilancarkan dengan peruntukan RM5 juta oleh Perdana Menteri pada Hari Wanita Antarabangsa tahun lepas menyediakan platform bimbingan, sumber dan platform untuk wanita berjaya.
“Program ini menangani jurang jantina dalam kepimpinan, memandangkan wanita cemerlang dalam pendidikan, tetapi masih kurang diwakili dalam kepimpinan ekonomi dan politik,” katanya. – KOSMO! ONLINE