ATHENS – Sebuah penerbangan EasyJet mendarat cemas di Athens, Greece selepas juruterbangnya pitam semasa mengendalikan pesawat, lapor akhbar Metro UK semalam.
Pesawat dari Hurghada, Mesir itu dalam penerbangan ke Manchester, England apabila kru kabin meluru ke hadapan pesawat.
Mereka kemudian bertanya sekiranya terdapat pengamal perubatan dalam kalangan penumpang.
Berapa penumpang berkata, mereka pada awalnya menyangka individu yang jatuh sakit ialah penumpang lain, namun terkejut mendapati juruterbang pesawat pengsan.
“Kabin kru menjelaskan bahawa juruterbang mempunyai masalah kesihatan dan jatuh sakit sebelum memberitahu bahawa pendaratan cemas akan dilakukan,” kata seorang penumpang.
Seorang jurucakap EasyJet berkata, penerbangan EZY2252 dari Hurghada ke Manchester itu dilencongkan ke Athens kerana juruterbang memerlukan bantuan perubatan.
“Pembantu juruterbang melakukan prosedur pendaratan rutin, manakala kakitangan paramedik menunggu di Athens.
“Penerbangan ditunda semalaman dan penumpang diberikan penginapan sebelum meneruskan perjalanan ke Manchester keesokan harinya,” katanya. – AGENSI