fbpx

‘Penting faham asal usul, agama agar tidak hilang arah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JATI DIRI bukan sekadar album, tetapi satu seruan kepada masyarakat agar tidak membiarkan identiti dan warisan bangsa terkubur dalam arus globalisasi. – FAISOL MUSTAFA

DALAM dunia seni yang sering berputar mengikut arus zaman, kehadiran penyanyi Faizal Tahir tidak sekadar mengikut rentak, dia mencipta gelombang tersendiri.

Dengan pengalaman lebih dua dekad di pentas hiburan, dia kembali menghamparkan sebuah karya yang bukan hanya hiburan tetapi berbentuk peringatan.

Saat dunia semakin larut dalam arus moden, pemilik nama penuh Ahmad Faizal Muhammad Tahir itu memilih untuk berpaling ke belakang, menyelak helaian sejarah, mengutip mutiara tradisi lalu menyulamnya ke dalam karya.

Hasilnya, lahirlah sebuah naskhah muzik berjudul Jati Diri yang bukan sahaja menghibur, tetapi juga menyedarkan, mengingatkan, dan menyuntik rasa bangga terhadap akar budaya Melayu.

Lebih istimewa, pelancarannya bukan dalam suasana biasa, sebaliknya dalam sebuah majlis kenduri penuh bermakna, melambangkan eratnya nilai kebersamaan dalam masyarakat kita.

Mengangkat konsep kenduri kendara sebagai tema pelancaran album, Faizal percaya bahawa nilai kebersamaan yang dulu menjadi tunjang ramai.

“Konsep kenduri menggambarkan bahawa perkara baik wajar dikongsi bersama. Bila kita berkumpul atas sesuatu yang positif, bukan sahaja keberkatan diperoleh, tetapi kasih sayang antara satu sama lain juga makin kukuh.

“Inspirasi utama saya adalah melihat betapa banyak jati diri yang semakin hilang.

“Saya mahu mengingatkan semua bahawa penting untuk kita memahami dan menghargai asal usul, budaya dan agama agar kita tidak kehilangan arah,” katanya kepada Kosmo! Online.

Bersama penerbit muda berbakat, Glowrush, mereka membentuk sebuah duo bernama Let Zapin, membawa muzik yang menjunjung nilai tradisional dalam garapan moden.

DENGAN gabungan melodi yang membelai jiwa, lirik yang mengusik rasa dan mesej yang membangkitkan kesedaran, album tersebut dijangka membawa gelombang baharu dalam industri muzik tanah air.

Mengukuhkan lagi roh Jati Diri, dua figura agung dalam dunia muzik, Datuk M. Nasir dan Altimet turut menyumbangkan suara emas mereka.

Ujar jejaka berusia 47 tahun itu, pemilihan dua ikon tersebut bukan sembarangan kerana mereka adalah lambang seni yang memiliki pengaruh besar dalam menyampaikan mesej bermakna melalui karya masing-masing.

“Saya mahu album ini bukan sekadar hiburan kosong. Muzik perlu ada jiwa, ada cerita, ada falsafah.

“Gabungan elemen moden dan tradisional dalam Jati Diri bukan sahaja menjadikannya relevan di hati peminat muda, tetapi juga satu penghormatan kepada warisan seni kita,” jelasnya.

Sebagai taruhan utama diskografi tersebut, pemenang Album Terbaik Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM17) itu mempertaruhkan lagu berjudul Orang Kampung, sebuah lagu ceria dan penuh warna meraikan keunikan serta nilai kehidupan di desa.

Katanya, dengan melodi rancak dan lirik yang menggambarkan keindahan budaya serta sikap mesra orang kampung, lagu tersebut membawa pendengar merasai kehangatan suasana desa yang semakin ditelan arus moden.

Orang Kampung bukan sekadar lagu, tetapi tetapi sebaliknya sebagai satu penghormatan kepada nilai dan semangat kebersamaan masyarakat kampung.

“Melodi rakyat ini mengajak kita menghargai asal usul dan keindahan hidup sederhana yang penuh kebahagiaan,” dedahnya.

Album tersebut bukan sekadar kompilasi lagu, tetapi sebuah naskhah muzik yang membawa satu gelombang baharu dalam industri tempatan.

Menggabungkan identiti budaya, nilai tradisional dan mesej mendalam, karya itu dijangka memberi impak besar kepada peminat muzik tanah air.

Video lirik Orang Kampung kini sudah boleh ditonton dalam saluran YouTube Faizal Tahir, sementara album Jati Diri tersedia di semua platform penstriman digital bermula 7 Februari lalu.

Ironinya, diskografi penuh usaha itu bukan sekadar muzik sebaliknya seni yang menghidupkan jiwa, suara warisan yang harus terus dijulang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI