fbpx

Pengurus pusat hiburan kantoi jual 11 jenama arak tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Sabri ketika sidang akhbar rampasan minuman keras tiruan di Stor Penyimpanan KPDN hari ini. KOSMO!/ M.FIRDAUS M.JOHARI

KUALA LUMPUR – Seorang pengurus pusat hiburan ditahan selepas dipercayai menjual arak tiruan pelbagai jenama dan menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah.

Anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur bertindak menyerbu dua premis pusat hiburan di ibu negara, 6 Februari lalu ekoran aduan diterima orang awam yang mencurigai ketulenan minuman keras itu.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd. Sabri Seman berkata, serbuan dilakukan selepas dua minggu risikan dan pemantauan rapi oleh pihak berkuasa bersama wakil pemilik berdaftar cap dagangan.

“Sebanyak 244 botol minuman keras pelbagai jenama disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah dirampas dengan nilai keseluruhan mencecah RM104,918.

“Siasatan awal mendapati, kira-kira 11 jenama arak tiruan dijual pada harga antara RM400 dan RM500 sebotol, setanding harga arak asli bagi mengaburi pelanggan,” katanya ketika sidang akhbar di Stor KPDN KL, di sini, hari ini.

Menurut beliau, hasil imbasan pada setem cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak mengeluarkan sebarang maklumat berkaitan, menimbulkan keraguan terhadap ketulenan dan tahap keselamatan kandungan minuman keras itu.

“Pengurus pusat hiburan, lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815) kerana memiliki barang yang menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah untuk tujuan perdagangan,” jelasnya.

Tambahnya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 5(1)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) kerana membekalkan barang yang mempunyai perihal dagangan palsu.

Sehubungan itu, beliau menegaskan akan membuat tindakan dan mengesan sumber arak tersebut diperolehi. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI