KUALA LUMPUR – Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lapan pertuduhan menipu dan pengubahan wang haram berjumlah RM5.1 juta melibatkan urusan jual beli sarung tangan, lima tahun lalu.
Tertuduh R. Gopinatan Pillai, 60, membuat pengakuan tidak bersalah itu bagi kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Hamidah Mohd Deril.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah menipu seorang individu dengan memperdayakan beliau supaya mempercayai bahawa 150,000 kotak sarung tangan jenis Coats Nitrile Examination berjenama Hartalega telah sedia ada di sebuah syarikat untuk dijual dan diserahkan oleh syarikat milik tertuduh kepada sebuah syarikat lain sedangkan stok bagi sarung tangan tersebut adalah tidak wujud.
Perbuatan itu menyebabkan mangsa dengan curangnya menyerahkan wang RM5,100,000 melalui sebuah firma guaman ke dalam akaun bank firma guaman yang mana ia tidak akan diserahkan sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Sementara bagi tujuh lagi pertuduhan, tertuduh didakwa enam pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5,005,000 daripada akaun bank syarikatnya ke dalam beberapa akaun bank syarikat lain dan akaun peribadinya serta satu pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5,100,000 daripada akaun bank sebuah firma guaman ke dalam akaun bank milik syarikatnya antara 10 November 2020 dan 6 Februari 2021 di beberapa buah bank di Sentul, di sini.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Chow Siang Kong menawarkan jaminan RM2.5 juta dengan dua orang penjamin bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Bagaimanapun peguam K. Komagan yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga dan telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis sepanjang siasatan dijalankan.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Hamidah membenarkan tertuduh diikat jamin RM250,000 untuk kesemua pertuduhan dengan dua orang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis.
Tertuduh juga diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Tarikh 26 Mac ini ditetapkan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE