GEORGE TOWN – Kira-kira 337,000 pengguna air di lima daerah di negeri ini sekali lagi bakal berdepan dengan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) selama tempoh 24 hingga 48 jam pada 24 April ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K. Pathmanathan berkata, PBAPP merancang melaksanakan kerja-kerja penyambungan akhir bagi bahagian Saluran Paip Menyeberangi Sungai Perai (SP-RCP) baharu bernilai RM8.7 juta (Fasa1) di Ampang Jajar, Seberang Perai Tengah (SPT).
Menurutnya, bahagian saluran paip SP-RCP adalah komponen saluran paip bekalan air utama yang meliputi dari LRA Sungai Dua (LRA terpenting Pulau Pinang) di Seberang Perai Utara (SPU) ke Sungai Perai di SPT.
“PBAPP memberi notis awal mengenai kerja-kerja penyambungan akhir berjadual projek SP-RCP kerana ia akan menjejaskan bekalan air kepada kira-kira 337,000 pengguna air di lima daerah di negeri ini. Ia termasuklah majoriti pengguna air industri di Bayan Lepas, Perai, Bukit Minyak dan Batu Kawan.
“PBAPP perlu menghenti tugas sementara bahagian saluran paip SPU-SPT pada 25 Apri ini untuk membolehkan kerja-kerja penyambungan akhir, serta kerja ujian dan pengoperasian,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, ketika tempoh henti bekalan air, PBAPP juga akan menjalankan kerja-kerja pembaikan segera untuk membaiki saluran paip 1.2m (meter) yang bocor di lokasi lain di pinggir sungai (Jalan Pengkalan Tambang) di SPU, berhampiran LRA Sungai Dua.
“Apabila PBAPP menyambung semula pengepaman penuh air terawat dari Sungai Dua, pemulihan bekalan air untuk pengguna-pengguna berhampiran dengan tapak SP-RCP seharusnya mendahului kawasan yang terletak lebih jauh.
“Ringkasnya, seperti dalam kes SWSI terdahulu yang melibatkan air terawat dari LRA Sungai Dua, pemulihan untuk ‘pengguna di hulu’ akan lebih cepat daripada ‘pengguna di hilir’,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sebaik sahaja kerja-kerja siap dijalankan, SP-RCP sepanjang 1.35m akan menyokong kapasiti pengepaman air terawat maksimum 247JLH (juta liter sehari).
“Ia akan membolehkan pengepaman air terawat yang lebih selamat dan lebih efisien dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua untuk memenuhi permintaan air pada masa hadapan di tanah besar dan bahagian pulau (melalui saluran paip dasar laut berkembar),” katanya. – KOSMO! ONLINE