fbpx

Pemandu bas positif dadah, JPJ gantung serta-merta lesen memandu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORAINI (kanan) memeriksa sebuah kereta dalam Operasi Khas Tahun Baharu Cina di Bulatan Jubli Emas, Kangar malam tadi.

KANGAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis menggantung serta-merta lesen memandu seorang pemandu bas ekspres setelah didapati positif dadah dalam Operasi Khas Tahun Baharu Cina dari 20 Januari lalu hingga semalam.

Pengarahnya, Noraini Mohd Nawi berkata, individu terbabit merupakan antara 30 pemandu bas ekspres yang menjalani ujian saringan air kencing dalam operasi tersebut.

“Seorang pemandu bas didapati positif dadah sekali gus menyebabkan lesen memandunya digantung serta-merta,” katanya pada sidang akhbar penutupan operasi itu, di sini malam tadi.

Katanya, pihaknya memeriksa sebanyak 357 bas ekspres di terminal bas utama negeri ini bagi memastikan keselamatan penumpang.

“Dua bas dikenakan tindakan atas kesalahan tayar haus dan cermin sisi retak kerana ia boleh membahayakan keselamatan penumpang,” ujarnya.

Menurutnya, sebanyak 14,555 kenderaan diperiksa dalam operasi berkenaan yang diadakan bagi meningkatkan pematuhan peraturan jalan raya, terutama ketika musim perayaan yang menyaksikan peningkatan trafik.

“Sepanjang operasi itu, sebanyak 1,609 kenderaan dikenakan tindakan, manakala 2,757 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Sebanyak enam kenderaan disita iaitu melibatkan empat motosikal dan dua kereta yang melanggar peraturan serta gagal memenuhi spesifikasi keselamatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI