SEREMBAN – Seorang lelaki ditahan orang awam sebelum diserah kepada polis selepas mencabul wanita dalam kejadian di kawasan Rehat & Rawat Seremban arah selatan di Nilai tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai tangkapan ke atas lelaki tempatan pada pukul 12.15 tengah malam kerana didapati mencabul seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an.
“Bertindak atas maklumat, anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai tiba di lokasi dan membuat tangkapan terhadap suspek.
“Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Pemuda itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini dan dibenarkan direman selama empat hari sehingga 13 Februari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE