fbpx

Mbappe muncul penyelamat Real Madrid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MBAPPE (kiri) meledak gol penyamaan Real ketika seri 1-1 dengan Atletico awal pagi semalam. - AFP

MADRID – Juara bertahan, Real Madrid berjaya mengelak kekalahan di laman sendiri selepas Kylian Mbappe muncul penyelamat dengan gol penyamaan pada separuh masa kedua ketika seri 1-1 menentang Atletico Madrid dalam aksi La Liga awal pagi semalam.

Meskipun hanya membawa pulang satu mata, namun keputusan itu sudah cukup buat Real kekal di puncak La Liga dengan 50 mata, satu mata di hadapan Atletico yang terlepas peluang untuk memintas musuh tradisi mereka.

Perlawanan di Santiago Bernabeu menyaksikan Atletico menguasai separuh masa pertama dan membuka jaringan pada minit ke-35 menerusi Julian Alvarez yang tenang menyempurnakan sepakan penalti selepas Aurelien Tchouameni mengasari Samuel Lino di dalam kotak penalti.

Namun, Real berjaya menyamakan kedudukan lima minit selepas rehat apabila Mbappe menyambar bola muntah selepas percubaan awal Vinicius Junior ditepis penjaga gol Atletico, Jan Oblak.

Ketua jurulatih Real, Carlo Ancelotti kecewa kerana mereka bolos disebabkan sepakan penalti yang tidak sepatutnya diberikan dan merasakan pasukannya berhak meraih keputusan lebih positif.

“Kami kuasai sepenuhnya dengan menjaringkan gol, beraksi dalam kotak penalti lawan dan bermain cukup bagus di babak kedua. Jadi kami patut raih keputusan yang lebih bagus.

“Cumanya saya merasakan ‘orang bola sepak’ (pengadil) tidak faham peraturan sepakan penalti kerana ia tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Real selepas ini akan bertandang ke England menentang gergasi Eropah, Manchester City untuk aksi playoff pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada Rabu nanti. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI