PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Komersial Arm Limited, Will Abbey hari ini.
Anwar melalui satu hantaran di Facebook memaklumkan, pertemuan itu membincangkan hala tuju teknologi pengkomputeran serta peluang untuk Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai hab utama dalam ekosistem semikonduktor dan pusat data.
“Dalam pertemuan ini kami bertukar pandangan mengenai arah tuju teknologi pengkomputeran agar Malaysia boleh mengukuhkan kedudukan dalam menjadi hub terutamanya terkait ekosistem semikonduktor dan pusat data.
“Pertemuan ini menjadi satu lagi bukti bahawa melalui dasar yang jelas seperti Strategi Semikonduktor Nasional dan lain-lain kelebihan, Malaysia berterusan menjadi tumpuan pelabur-pelabur luar,” katanya.
Arm Limited ialah sebuah syarikat peneraju dunia dalam teknologi Unit Pemprosesan Pusat (CPU) yang berpangkalan di United Kingdom dan memberi fokus kepada pembinaan masa depan pengkomputeran.
“Ini termasuk peranan sebagai arkitek, membangun dan melesenkan penyelesaian hak harta intelek (IP) yang berprestasi tinggi, kos rendah dan cekap tenaga,” katanya. – KOSMO! ONLINE