SHAH ALAM – Naib juara Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11), Ning Baizura mendedahkan dia hanya memakai selipar sewaktu persembahan di konsert akhir, semalam.
Menurut Ning atau nama lengkapnya Ning Baizura Sheikh Hamzah, 50, disebabkan busana yang dipakainya menutupi bahagian kaki, dia mengambil peluang tersebut untuk tidak memakai kasut tumit tinggi.
“Saya seorang yang pentingkan keseimbangan dalam membuat persembahan. Saya tidak suka pakai kasut tumit tinggi sebenarnya. Tak tahulah sebab faktor usia ke apa.
“Tetapi malam ini (semalam) adalah kali pertama saya membuat persembahan di atas pentas dengan memakai selipar.
“Alhamdulillah keselesaan ini membuatkan saya dapat memberikan persembahan yang baik. Sewaktu sesi raptai saya cuba ukur ketinggian saya dengan Pasha Ungu supaya kelihatan seimbang. Jadi saya ambil keputusan untuk memakai selipar,” katanya kepada Kosmo! Online.
Nampaknya percaturan Ning untuk memakai selipar membuahkan hasil apabila kedua-dua persembahannya mendapat pujian daripada juri tetap, Datuk Ramli MS.
Mengulas lanjut mengenai kemenangannya sebagai naib juara, kata Ning dia bersyukur kerana lawannya bukan calang-calang kerana penyanyi bertaraf legenda Liza Aziz.
“Pernah ke anda melihat juara GV seseorang yang berumur 60-an? Liza Aziz berjaya membuktikan dia mampu bergelar juara.
“Jika ada yang berpendapat saya patut bergelar juara, saya rasa peminat peserta lain pun akan rasa artis kesayangan mereka patut bergelar juara.
“Apa yang penting saya adalah juara di hati peminat dan saya berjaya menghiburkan mereka. Itu sudah memadai. Apa yang boleh saya katakan, saya buat keputusan yang tepat untuk sertai GV11. Tiada sesalan,” katanya.
Konsert akhir GV11 yang berlangsung semalam menyaksikan Liza Aziz telah dinobatkan sebagai juara. Tempat ketiga pula disandang oleh Sheila Abdull, manakala Dadali Dyrga (keempat), Zehra Zamri (kelima) dan The Lima (keenam). – KOSMO! ONLINE