PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan tidak mudah bagi mana-mana individu mendapatkan lesen memiliki senjata api kerana ia perlu melepasi syarat ketat dan cermat.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setiap individu yang mahu memiliki lesen itu perlu melepasi tapisan ketat dan saringan dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KDN sendiri.
Beliau berkata, tidak ada rakyat Malaysia yang boleh memiliki senjata api kecuali dengan jalan perlesenan dan memiliki senjata api tanpa lesen adalah satu kesalahan jenayah yang sangat berat.
“Saya faham orang awam berhak untuk merasa resah dan gelisah dari segi sistem pemilikan senjata di negara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas lanjut sama ada wujud isu kelonggaran pemilikan senjata api susulan insiden tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam, Sabtu lalu.
Katanya, beliau juga mendedahkan hanya meluluskan rayuan tiga permohonan lesen milikan senjata api bagi setiap 100 permohonan sejak memangku jawatan Menteri Dalam Negeri.
Saifuddin berkata, beliau akui ada permohonan yang diproses sehingga dua tahun kerana ia perlu melalui tapisan rapi dan cermat. – KOSMO! ONLINE