KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menumpaskan lima sindiket dadah bernilai RM1.45 juta yang dipercayai bergiat aktif di Lembah Klang sejak Oktober tahun lalu.
Pengarah JSJN, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, suspek warga tempatan berusia 36 hingga 46 tahun ditahan dalam beberapa siri serbuan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur kira-kira pukul 8.50 malam hingga 11.50 malam 4 Februari lalu.
Katanya, modus operandi sindiket ini adalah menjadikan kondominium mewah sebagai tempat penyimpanan pelbagai jenis dadah dan juga tempat memproses dadah jenis jus MDMA sebelum dipasarkan ke pusat hiburan.
“Kita menahan suspek lelaki yang dipercayai ketua sindiket, 46, di parkir sebuah kondominum Cheras seterusnya membongkar ‘stor’ simpanan dadah sebelum menahan suspek kedua berperanan sebagai runner bersama dadah jenis syabu.
“Kita juga berjaya menahan baki tiga suspek manakala dadah yang dirampas adalah 9.85 kilogram (kg) heroin base; heroin 0.23 kg; syabu (1.17 kg); serbuk MDMA (0.13 kg); pil yaba (0.11 kg); 84.7 milliliter (ml) cecair vape; pil ekstasi (0.48 kg); ganja (0.32 kg) dan pil Erimin 5 (0.98 kg),” katanya ketika sidang akhbar di Bukit Aman hari ini.
Jelas beliau, dadah dianggarkan RM1.45 juta boleh digunakan oleh seramai 72,752 penagih dadah.
“Semua suspek positif dadah dan semakan rekod mendapati hanya tiga suspek mempunyai rekod kesalahan lampau. Suspek utama, 16 kes dadah dan empat kes jenayah; suspek kedua (lapan kes dadah) dan suspek ketiga (15 kes dadah dan lima kes jenayah).
“Kesemua suspek direman bermula 5 Februari manakala kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Sehubungan itu, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 iaitu menyita dua buah kereta dan tiga utas jam tangan yang dianggarkan bernilai RM36,750.
“JSJN akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas untuk diheret ke muka pengadilan.
“PDRM, khususnya JSJN bertekad untuk memerangi musuh nombor satu negara dan berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline JSJN di talian 012-208 7222,” ujarnya lagi. – KOSMO! ONLINE