PETALING JAYA – “Suspek ada bersama kami (dalam kereta) kira-kira 45 minit dan sebelum menghilangkan diri, suspek mengambil kad memori ‘dashcam’ kereta.”
Itu pengalaman ngeri dialami pemandu sebuah kereta jenis Perodua Ativa bersama isteri dan empat anak semasa menjadi ‘tebusan’ dalam kejadian tembak di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Shah Alan pada Sabtu lalu.
Lelaki berusia dalam lingkungan 30-an yang enggan dikenali itu berkata, sebelum kejadian, dia sekeluarga sedang makan di sebuah restoran di pusat beli-belah berkenaan sebelum keadaan bertukar kecoh.
Katanya, pengawal keselamatan kemudian mengarahkan mereka sekeluarga segera keluar dari pusat beli-belah terbabit.
“Ketika kami sekeluarga hendak masuk ke dalam kereta secara tiba-tiba seorang lelaki berada di sebelah sambil mengacukan pistol.
“Suspek kemudian melepaskan tembakan ke arah dinding supaya kami tahu pistol yang dipegang itu betul (tulen). Suspek kemudian mengarahkan kami semua masuk dalam kereta.
“Dia (suspek) duduk betul-betul di tempat duduk belakang saya (pemandu). Saya minta dia simpan pistol supaya anak-anak tidak takut,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, lelaki itu berkata, semasa memandu, suspek mengarahnya melalui laluan tertentu sebelum turun di tepi lebuh raya sebelum menghilangkan diri.
Kosmo! Online kelmarin melaporkan seorang tukang cuci cedera ditembak di punggung dan kaki dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada Sabtu lalu.
Susulan kejadian itu, polis giat mengesan suspek yang melarikan diri dengan menumpang kenderaan orang awam.
Siasatan mendapati suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.
Suspek dipercayai melepaskan sekurang-kurangnya empat das tembakan itu gara-gara berang selepas mangsa menegurnya supaya mengalihkan barang. – KOSMO! ONLINE