MEMINATI bidang kandungan digital sejak empat tahun lalu membuatkan gadis manis dengan nama lengkap Nur Annisaa’ Shaiful Naim ini tidak menoleh ke belakang dan tekun menghasilkan pelbagai karya digital untuk kegunaan universiti serta turut menyertai pertandingan.
Nur Annisaa, 23, atau lebih mesra disapa Neesaa memberitahu, dia mula berjinak-jinak sebagai pencipta kandungan digital (digital creator) ketika menyambung pengajian Diploma Perhutanan di Universiti Putra Malaysia (UPM) Kampus Bintulu, Sarawak.
Pada ketika itu, dia menyertai program kokurikulum dan diberi tanggungjawab sebagai Ahli Jawatankuasa Multimedia yang menggalas peranan berkaitan bidang penghasilan grafik dan video.
“Sejujurnya, saya tidak ada asas berkaitan penghasilan kandungan digital, tetapi sedikit demi sedikit saya belajar daripada senior dan juga mempelajarinya sendiri menerusi tutorial dari YouTube.
“Latihan yang berteruskan membolehkan saya menjadi semakin cekap dan turut menurunkan ilmu ini kepada pelajar-pelajar lain yang mahu mempelajari berkaitan kandungan digital,” katanya kepada K-Kampus.
Neesaa berkata, pencipta kandungan digital dan pencipta kandungan adalah dua perkara yang berbeza walaupun ia kedengaran seakan sama sehingga membuat ramai yang terkeliru.
Jelasnya, sesiapa sahaja boleh bergelar pencipta kandungan, cukup sahaja berbekalkan telefon pintar untuk merakam apa sahaja video yang dimahukan dan kemudian memuat naik bagi menarik seramai mungkin pengikut menerusi platform di media sosial.
“Namun, untuk bergelar pencipta kandungan digital, seseorang itu perlu menguasai kemahiran tertentu bagi menghasilkan grafik yang mantap di samping membuat rakaman video.
“Sudah tentu, kemahiran ini perlu sentiasa diasah dan dipelajari setiap masa agar ia relevan dengan zaman sekarang,” katanya yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Taman dan Rekreasi dengan Kepujian di UPM, Serdang, Selangor.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-03-at-10.23.36-PMdd.jpeg)
Bercerita detik manis sepanjang bergelar pencipta kandungan digital, Neesaa memberitahu, bergelar Johan Content Creator Digital BootCamp UITMxUTHMxUPM pada Oktober lalu merupakan kenangan yang tidak akan dilupakan.
Ujar anak sulung daripada enam beradik itu, pertandingan tersebut merupakan yang pertama disertainya. Dia yang merupakan Presiden III Sekretariat Pendigitalan dan Komunikasi Korporat Majlis
Perwakilan Kolej (MPK) Tan Sri Aishah Ghani telah diwajibkan untuk mengikutinya.
“Pertandingan ini berlangsung selama lima hari di Pahang yang melibatkan lebih 80 peserta dari tiga buah universiti iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan UPM.
“Syukur Alhamdulillah, saya berjaya merangkul Johan Content Creator Digital BootCamp,” tuturnya yang menjadikan Sofyank sebagai idola.
Neesaa yang kini juga merupakan Timbalan Naib Yang Dipertua Media dan Perhubungan, Majlis Perwakilan Pelajar UPM mengakui kebolehannya dalam penghasilan kandungan digital banyak membantunya dalam menggalas tugas yang diberikan.
Sementara itu, selain bergelar pencipta kandungan digital, MPP dan MPK, Neesaa juga bergiat aktif sebagai pengacara majlis untuk pelbagai acara seperti perkahwinan, makan malam dan majlis-majlis di universiti.
Gadis berketinggian 152 sentimeter itu memberitahu, dia aktif sebagai pengacara majlis sejak di tingkatan tiga apabila bakatnya dicungkil oleh seorang guru kaunselor.
Meskipun sibuk dengan pelbagai aktiviti di universiti, Neesaa tidak melupakan tanggungawab utamanya sebagai pelajar dan bercadang mahu melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Reka Bentuk Landskap.
“Sekarang saya sudah jumpa ‘cinta’ iaitu sebagai pencipta kandungan digital sehingga kebanyakan masa dihabiskan untuk menghasilkan kandungan-kandungan berkaitan dengannya.
“Oleh kerana saya terlalu minat dalam bidang kandungan digital, saya mahu meluaskan lagi pengetahuan dengan menyambung pengajian Ijazah Sarjana Reka Bentuk Landskap kerana mahu jadikannya sebagai kerjaya masa depan,” katanya yang berasal dari Gurun, Kedah.