fbpx

Kaut RM54,000 sebulan, sembilan ahli sindiket penipuan pekerjaan dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEMBILAN ahli sindiket pusat panggilan penipuan pekerjaan antarabangsa ditahan polis di sebuah kondominium di Taman Kota Laksamana, Melaka.

MELAKA – Sembilan ahli sindiket pusat panggilan penipuan pekerjaan antarabangsa yang mengaut keuntungan RM54,000 sebulan diberkas polis di sebuah kondominium di Taman Kota Laksamana di sini, minggu lalu.

Kesemua suspek terdiri lima lelaki dan empat wanita termasuk tiga warga China berusia antara 26 dan 43 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka kira-kira pukul 10 pagi pada 7 Februari lalu.

Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md. Nazri Zawawi berkata, sindiket menyasarkan mangsa daripada rakyat sebuah negara di kepulauan Caribbean.

Kata beliau, modus operandi sindiket adalah dengan mengiklankan tawaran pekerjaan palsu di Facebook dan mangsa yang berminat akan berkomunikasi dengan ahli sindiket melalui Whatsapp atau Telegram.

“Mangsa kemudian diarahkan membuat 32 jenis tugasan melalui laman sesawang yang kononnya bagi membantu menaikkan jumlah maklum balas hotel dan filem negara berkenaan. Selesai tugas pertama, mangsa yang berminat meneruskan tugasan akan diarahkan membuat transaksi bayaran kepada ahli sindiket ini.

“Mangsa dijanjikan bayaran komisen dalam dolar Amerika Syarikat (AS) antara AS$70 dan AS$100 bagi setiap tugasan yang berjaya dilaksanakan. Bagaimanapun, mangsa tidak menerima komisyen dijanjikan setelah bayaran dibuat dan sindiket dipercayai memperoleh keuntungan sebanyak RM54,000 sebulan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Md. Nazri, polis turut merampas pelbagai jenis barangan antaranya sebuah komputer riba, tujuh komputer meja dan 49 telefon bimbit dianggarkan bernilai kira-kira RM30,000.

“Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI