fbpx

K2

JoHAN bantu pelajar dapatkan kerja sambilan semasa menuntut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ekonomi gig seperti kerja-kerja penghantaran dilihat menjadi trend sekali gus membantu sesiapa sahaja termasuk pelajar menjana pendapatan sampingan. – Gambar hiasan

SEBAGAI usaha memperkasa peluang pekerjaan sambilan dalam kalangan mahasiswa, Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor tampil memperkenalkan sebuah aplikasi inovatif.

Aplikasi diberi nama Job Hunting and Networking (JoHAN) itu turut berperanan dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam sektor tenaga kerja.

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah di Pusat Kebudayaan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bersempena Majlis

Bersama Naib Canselor dan Ikrar Pelajar Baharu sesi 2024/2025.

Aplikasi JoHAN dipercayai mampu membantu pelajar mempersiapkan diri dengan dunia kerja sebenar selain membantu meringankan beban kewangan pelajar.

Menurut Ahmad Farhan, JoHAN yang dibangunkan Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan

(CEM) merupakan pelantar digital yang menyokong inisiatif ekonomi gig.

“Aplikasi ini menyediakan akses mudah kepada pelajar untuk mencari pekerjaan sambilan.

“Tidak setakat itu, ia juga membantu kebolehpasaran graduan dalam bidang pekerjaan kepada pelbagai organisasi baik di dalam mahupun luar kampus,” katanya.

Sementara itu, Pengarah CEM, Prof. Madya Dr. Hizmawati Madzin menyifatkan, JoHAN mampu menggantikan sistem manual bagi perkhidmatan Pekerja Khidmat Pelajar (PKP) di UPM.

Jelasnya, aplikasi inovatif tersebut bukan sahaja memudahkan pelajar mendapatkan pekerjaan sambilan, tetapi juga membantu mereka menjana pendapatan tambahan serta mengembangkan kemahiran dan pengalaman kerja yang berharga.

Ahmad FARHAN (lapan dari kanan) usai merasmikan aplikasi JoHAN bersempena Majlis Bersama Naib Canselor dan Ikrar Pelajar Baharu di UPM, Serdang baru-baru ini.

“JoHAN dilengkapi dengan sistem pangkalan data berpusat yang membolehkan proses permohonan dan tawaran pekerjaan dilakukan secara dalam talian dengan lebih efisien serta sistematik.

“Fasa pertama aplikasi ini memfokuskan kepada pekerjaan yang ditawarkan oleh Pusat Tanggungjawab (PTJ) UPM.

“Bagi fasa kedua, ia akan diperluas untuk melibatkan organisasi luar kampus sekali gus memberikan pelajar lebih banyak peluang pekerjaan pada skala lebih besar,” katanya.

Tambah Hizmawati, dia percaya menerusi pelancaran JoHAN, ia akan mendapat sambutan positif daripada komuniti kampus, terutama pelajar baharu yang kini boleh meraih pengalaman kerja sambil belajar dengan lebih mudah.

Ujarnya, melalui aplikasi itu juga, pelajar berpeluang meningkatkan kemahiran, melebarkan jaringan industri serta membentuk personaliti yang bersedia menghadapi dunia pekerjaan sebenar selepas bergraduasi kelak.

Aplikasi JoHAN dijangka menjadi alat penting dalam memperkukuhkan ekosistem pembelajaran di UPM selain meningkatkan daya saing graduan dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.

Bagi seorang pelajar tahun tiga yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, pelaksanaan inistiatif terbaik itu mampu membantu pelajar sepertinya mencari sumber pendapatan sendiri lebih-lebih lagi ketika ekonomi mencabar kini.

“Kami sebagai para pelajar menyambut baik inisiatif diperkenalkan UPM dalam usaha membantu meringankan beban pelajar menerusi pelaksanaan JoHAN,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI